Definisi dari sudut syarak:
Ar-Rahnu dari sudut syarak merujuk kepada satu barang yang berharga dijadikan sebagai sandaran yang terikat dengan hutang bercagar yang boleh dibayar dengannya sekiranya hutang tersebut tidak dapat dijelaskan.
Definisi dari sudut bahasa:
Ar-Rahnu dari sudut bahasa bermakna mantap dan berkekalan. Misalnya, keadaan yang mantap ataupun ia bermakna tahanan, seperti firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
"Tiap-tiap diri terikat, tidak terlepas daripada (balasan buruk bagi amal jahat) yang dikerjakannya............."
(Surah al-Muddaththir 74:38)
KONSEP PERLAKSANAAN
Ar-Rahnu menggabungkan dua konsep syariah yang utama iaitu Ar-Rahnu dan Al-Wadiah Yad Dhamanah:
- Ar-Rahnu merujuk kepada mekanisme di mana suatu barang berharga dijadikan sandaran yang terikat dengan hutang bercagar yang boleh dibayar dengannya, sekiranya hutang tersebut tidak dapat dijelaskan.
- Al-Wadiah Yad Dhamanah merujuk kepada simpanan barang berharga dengan jaminan. Setiap simpanan akan dikenakan upah simpan.
RUKUN AR-RAHNU
Hukum Ar-Rahnu mengandungi 5 perkara:
Penggadai atau orang yang menggadai; iaitu orang yang berhutang Penerima gadaian atau pemegang gadai; iaitu pihak yang memberi pinjaman barang gadaian; iaitu barang yang berharga yang dipunyai dan dalam kawalan penerima pinjaman Tanggungan gadaian; iaitu jumlah yang berhutang Sighah atau perjanjian; iaitu perjanjian berkaitan pinjaman/ hutang dan gadaian
KELEBIHAN AR-RAHNU
Antara kelebihan Ar-Rahnu berbanding Pajak Gadai Konvensional ialah:- Tidak Mengenakan Kadar Faedah (Unsur Riba)
Perbezaan utama antara Ar-Rahn dan Pajak Gadai Konvensional adalah pada perjanjian pinjaman yang dikaitkan dengan sesuatu ganjaran dan bukan pada gadaian itu sendiri. Dalam perjanjian Ar-Rahn, pinjaman yang diberi tidak dikenakan faedah (interest) iaitu riba di mana riba diharamkan oleh Islam, berbanding Pajak Gadai Konvensional yang menjadikan faedah sebagai sumber hasil kepada pemberi pinjaman dan ianya diharamkan oleh Islam.
- Nilai Gadaian Tidak Merosot
Nilai gadaian bagi barang yang ingin ditebus semula tidak merosot dan tidak berubah serta tidak berlaku penyelewengan. Tidak berlaku sebarang masalah di mana barang kemas seperti rantai emas apabila ditebus didapati kurang berat atau pendek sedikit daripada sebelum digadai.
- Wang Lebih Gadaian DipulangkanSekiranya pemberi gadaian tidak berkemampuan membayar balik hutang yang ditanggungnya apabila tamat tempoh perjanjian, pemberi gadaian akan diberitahu atau dimaklumkan tentang barang gadaian yang terpaksa dijual. Sekiranya harga jualan melebihi baki hutangnya, lebihan tersebut akan dikembalikan. Ini berlaku kerana nilai pinjaman adalah jauh lebih rendah dari nilai barang gadaian.
- Barang Kemas Yang Disimpan SelamatSemua barang kemas yang disimpan dalam skim tersebut adalah selamat. Di mana, penerima gadaian akan menjamin pemeliharaan dan bertanggungjawab ke atas barangan kemas yang diberi oleh pemberi gadaian. Dengan ini, pemberi gadaian tidak perlu risau dengan masalah pemeliharaan dan penjagaan barang kemas mereka sepanjang ia berada di pihak penerima gadaian.
- Caj perkhidmatan Yang Rendah
Ar-Rahn menawarkan caj perkhidmatan yang rendah. Semua pengurusan di Ar-Rahn melibatkan kos dan risiko yang rendah jika dibandingkan dengan Pajak Gadai Konvensional. Pajak Gadai Konvisional menawarkan caj perkhidmatan yang tinggi dan ada juga sebilangan pemegang atau tauke Pajak Gadai Konvensional yang menerima atau meminta wang pendahuluan dari penggadai walaupun akta melarang kegiatan tersebut.
- Tiada Unsur Penipuan Semasa Membuat Timbangan.Pemberi gadaian juga tidak perlu risau dengan penipuan-penipuan yang sering berlaku semasa timbangan dibuat. Ini kerana, dalam Ar-Rahnu tidak akan berlaku sebarang unsur penipuan semasa timbangan dibuat dan nilai timbangan yang jelas akan ditunjukkan kepada pemberi gadaian.
- Tempoh Membayar Balik Yang Munasabah
Ar-Rahnu juga merupakan sebuah Pajak Gadai Islam yang boleh bertolak ansur dengan pelanggannnya berkaitan dengan tempoh membayar balik wang pinjaman yang telah dipinjam. Tempoh membayar balik yang dikenakan adalah munasabah dan boleh diterima pakai oleh semua pihak. Tidak seperti sesetengah Pajak Gadai Konvensional yang kadangkala meminta wang tambahan daripada pemberi gadaian sekiranya pemberi gadaian ingin melanjutkan tempoh pembayaran balik pinjaman mereka.
- Pemberian Notis Kepada Penggadai Tentang Upacara Lelongan
Pihak penerima gadaian akan memberi notis kepada pihak penggadai sekiranya barang gadaian mereka hendak dilelongkan dan tempoh masa membayar balik untuk mereka telah habis. Dengan ini pihak pemberi gadaian akan mengetahui bahawa tempoh masa membayar balik yang diperuntukkan untuk mereka telah habis dan barang gadaian mereka akan dilelongkan.
- Memberi Nilai Gadaian Yang Sepatutnya
Perkara ini sering berlaku dalam Pajak Gadai Konvensional. Ia berlaku kerana Akta Pemegang Pajak Gadai tidak menetapkan nilai tara atau kriteria untuk menilai gadaian berkenaan. Dalam Ar-Rahnu, penerima gadaian akan memberi nilai gadaian yang sepatutnya dengan barang gadaian yang digadai oleh penggadai.
Pajak Gadaian Islam
Sila pilih Institusi Pajak Gadai pilihan anda untuk melihat senarai Pajak Gadai Islam yang berdekatan:
- Agrobank
- Ar-Rahn (Sistem Gadaian Islam)
- Ar-Rahn KPMJ Gold Sdn Bhd
- Ar-Rahn EON Bank
- Ar-Rahn KOTANI
- Koperasi UNIKEB